KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meminda notis usul berkaitan pembekuan aset di London bernilai £132 juta (RM758.2 juta) yang dimiliki Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan ahli keluarganya.
Pindaan tersebut dibuat bagi mematuhi format pihak berkuasa di United Kingdom (UK).
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide yang sebelum itu menjelaskan bahawa pindaan melibatkan penambahan butiran terperinci dalam notis usul tersebut.
“Permohonan dibuat secara ex-parte (sebelah pihak) pada 30 Mei lalu melibatkan pengemaskinian alamat penuh serta nombor hak milik mengikut format pihak berkuasa UK, selain pembetulan tarikh dan nilai pembelian ke atas hartanah tidak alih yang terbabit,” jelas Maziah dalam prosiding hari ini.
Aset-aset yang terlibat ialah dua bangunan komersial, masing-masing di St Mary Axe dan One Crown Court, tiga kediaman mewah yang terletak di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate, dua unit kediaman di Gloucester Place serta satu akaun bank di CAF Bank Limited yang dikatakan milik The Ilham Foundation.
Sementara itu, peguam bela, Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Na’imah memaklumkan mahkamah bahawa enam syarikat termasuk The Ilham Foundation telah mengemukakan permohonan untuk menjadi pencelah dalam tindakan pembekuan aset yang difailkan SPRM.
Namun, permohonan itu dibantah oleh pihak pendakwaan.
Ekoran itu, mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan mencelah tersebut manakala keenam-enam syarikat berkenaan pula diarahkan memfailkan jawapan balas selewat-lewatnya pada 6 Ogos ini.
Mahkamah turut menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan tindakan membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank yang didaftarkan atas nama Na’imah adalah langkah awal bagi mengelakkan sebarang pelupusan aset semasa siasatan dijalankan.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, pembekuan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan awal susulan siasatan menyeluruh yang sedang dijalankan agensi itu. – UTUSAN