SEPANG: Sistem pintu automatik (autogate) untuk pelawat asing di pintu masuk utama negara kembali beroperasi dan pulih sepenuhnya mulai malam tadi.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, beliau dimaklumkan semua autogate mula beroperasi pada kapasiti penuh.
Beliau berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku dan memohon maaf kepada mereka yang terjejas selain cuba memastikan ia berulang.
“Saya dimaklumkan 380,000 pengunjung luar negara terkesan dengan gangguan autogate itu semalam,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.
Mohd. Suzaily berkata, susulan gangguan itu, pihaknya mengarahkan semua kaunter pintu masuk dikendalikan secara manual oleh pegawai bertugas bagi melancarkan pergerakan masuk dan keluar pelawat.
Beliau berkata, insiden itu turut diuar-uarkan di semua platform media sosial bagi memaklumkan pelawat khususnya dari Singapura supaya merancang perjalanan atau menangguhkan ke tarikh lain.
Ditanya sama ada gangguan itu disebabkan aktiviti sabotaj, Mohd. Suhaily berkata, pihaknya akan melihat perkara itu namun, buat masa ia tidak dilihat sebagai punca gangguan.
“Saya tidak mahu memberikan apa jua andaian supaya ia tidak lagi memburukkan keadaan,” katanya.
Katanya, isu tersebut disyaki berpunca daripada gangguan integrasi data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguatkuasa antarabangsa yang menyebabkan proses semakan silang menjadi perlahan.
Ditanya jaminan AKPS supaya insiden sama tidak berulang pada masa akan datang, Mohd. Suhaily berkata, perkara itu berlaku di luar kawalan pihaknya dan jabatannya akan bekerja sebaik mungkin bagi memastikan isu sama tidak berulang.
Media semalam melaporkan, sistem pagar automatik untuk pelawat asing di pintu-pintu masuk utama negara mengalami gangguan sejak Jumaat lalu. – UTUSAN











