LENGGONG: Sinergi kukuh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan menjadi antara kunci penting kepada kejayaan pelan Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berkata, sinergi itu membolehkan 108 daripada 270 projek serta inisiatif yang digariskan dalam pelan tersebut berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
“Ini membuktikan bagaimana pelan Perak Sejahtera 2030 dan gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain.
“Sinergi ini dapat dilihat bagaimana kepimpinan negeri dan Persekutuan merentasi jabatan dan agensi mempunyai keserasian dan kemahuan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
“Dan kita mahu sinergi ini diperkukuhkan untuk kita mencipta lebih banyak kejayaan,’’ katanya ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga pelan Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong semalam.
Saarani memberi contoh bagaimana beberapa pendekatan luar kotak yang dilaksanakan merentasi jabatan negeri dan Persekutuan sehingga membolehkan kelima-lima projek berimpak tinggi di negeri Perak dapat digerakkan secara pantas.
Antara inisiatif tersebut ialah Muallim-Speed Lane (M-SL) yang memendekkan proses kelulusan pembinaan sehingga ke peringkat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) serta lesen operasi.
Kerian Green Lane (KGL) pula katanya, mengguna pakai prinsip ‘Agile Regulation’ atau pengawalseliaan tangkas bagi kelulusan cepat di kawasan industri.
Manakala Express Lane urusan tanah dilaksanakan bagi memendekkan kelulusan urusan tanah kepada serendah satu hari berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.
“Begitu juga sinergi yang mantap dalam pelaksanaan pelbagai program kesejahteraan rakyat apabila agensi dan jabatan negeri serta Persekutuan berganding bahu bagi meringankan beban golongan memerlukan,’’ jelasnya.-UTUSAN