PETALING JAYA: Pelakon, Shasha Abedul, selamat bergelar isteri kepada jejaka bernama Adam dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup pada Sabtu.
Menerusi video yang dikongsikan sahabat baiknya, Daiyan Trisha, memaparkan Shasha manis menyarungkan busana serba putih untuk majlis akad nikah yang dipercayai diadakan di sebuah masjid.
Manakala suaminya, Adam, segak mengenakan baju Melayu serba putih, lengkap bersongkok. Masing-masing saling tersenyum manis ketika menyarungkan cincin di jari manis.
“Pergilah, berbahagialah Shasha Abedul dan Adam. Ku akan bersamamu hingga akhir hayatmu,” tulis Daiyan di ruangan kapsyen.
Peminat mula meninggalkan komen tahniah dan tumpang gembira dengan perjalanan baharu pelakon Project: Exit tersebut.
“Cantiknya Shasha, tahniah ya,” tulis satu peminat.
“Gembira untuk Shasha, mesti Daiyan nangis juga dekat tepi itu,” kata komen yang lain.
“Semoga Allah memberkati perkahwinan ini,” doa seorang peminat.
Terdahulu, pada Januari tahun ini, Shasha mengumumkan sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka.
Tidak mendedahkan secara terperinci siapa gerangan jejaka yang dimaksudkan, Shasha berkata, ini adalah permulaan mereka untuk melangkah ke alam perkahwinan yang indah. -UTUSAN