Separuh petani di Kedah terdiri warga emas

Separuh petani di Kedah terdiri warga emas

DR. Mohd. Uzir Mahidin (tiga kiri) di samping Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab. Ghani (tiga kanan) pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sektor pertanian Kedah semakin menua apabila lebih separuh pemilik tanah dan pengusaha pertanian terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas mengikut bancian Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, statistik Bancian Pertanian 2024 bagi Kedah itu menunjukkan daripada keseluruhan pengusaha pertanian melibatkan berjumlah 123,194 individu, 61,886 atau 50.2 peratus terdiri daripada kelompok usia itu.

Tambahnya, sementara individu yang berumur 46 hingga 59 tahun sebanyak 39,365 atau 32 peratus, 31 hingga 45 tahun (19,521 orang; 15.8 peratus) dan 15 hingga 30 tahun (2,419 orang; 2 peratus). 

“Kita tahu, dalam pertanian ini tiada umur pencen biasanya orang tua kita yang memiliki tanah kerana ramai yang belum tukar nama kepada anak-anak. Jadi bila kita teliti pemilikan tanah, kita dapati ia memang didominasi golongan berusia. 

“Kalau tanah itu ditukar kepada anak-anak mungkin banyak orang muda terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Kedah di sini hari ini. 

Beliau berkata, antara faktor lain yang dikenal pasti menyumbang kepada penuaan sektor ini ialah urbanisasi apabila hampir 80 peratus golongan muda kini memilih menetap dan bekerja di bandar dalam sektor industri dan perkhidmatan.

Tambahnya, cabaran itu hanya boleh diatasi melalui penggunaan teknologi dan pelan peralihan generasi yang dirancang dengan rapi. 

“Petani muda perlu dibekalkan dengan pengetahuan, akses kepada tanah dan contoh kejayaan sebenar. Kita bangunkan platform seperti TaniSTEP untuk kongsi kisah-kisah inspirasi petani muda yang berjaya,” katanya.

Tambahnya, laporan Interim Banci Pertanian 2024 bagi Kedah juga menunjukkan bahawa walaupun terkenal dengan negeri jelapang padi, namun bilangan pengusaha pertanian tertinggi dicatatkan oleh aktiviti tanaman getah dengan bilangan 58,344 orang, diikuti tanaman padi (48,921), kelapa sawit (7,158) dan perikanan (4,314). 

“Daerah Kubang Pasu pula mempunyai bilangan pengusaha pertanian tertinggi dengan catatan 19,472 orang diikuti Pendang (17,130), Kota Setar (14,750); Baling (13,752); Padang Terap (12,911); Sik (12,678); Kuala Muda (11,092); Pokok Sena (6,772) dan Yan (6,100),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN