KUALA LUMPUR: Setelah tujuh tahun tidak menghiburkan peminat di Malaysia, penyanyi antarabangsa, Sean Paul, bakal mengadakan sebuah konsert Sean Paul Live In Malaysia pada 10 Oktober ini.
Bertempat di Idea Live Arena, penyanyi lagu No Lie itu turut meluahkan rasa teruja untuk mengubati kerinduan peminat di konsert anjuran Epic Elation dengan sokongan daripada Sound Innovations, Spike Productions, dan LFG Entertainment.
“Setiap kali berpeluang bertemu dengan peminat di seluruh dunia, ia adalah satu nikmat. Saya tidak sabar untuk kembali ke Malaysia. Sokongan dan tenaga daripada peminat Malaysia memang luar biasa.”
“Saya paling bersemangat ingin menyampaikan single terbaharu Ginger secara langsung. Lagu ni punya aura, dan saya yakin penonton akan menikmatinya,” katanya.
Lebih menarik lagi, Sean turut menjanjikan persembahan penuh bertenaga menerusi lagu-lagu hit popular, termasuklah single terbaharunya, Ginger, yang kini sedang mencipta fenomena di pelbagai platform penstriman muzik.
Sementara itu, pihak Epic Elation selaku penganjur juga yakin kemunculan Sean Paul di pentas istimewa itu bakal menjadi salah satu acara muzik paling diingati tahun ini.
“Kami amat teruja untuk membawa Sean Paul kembali bertemu peminat di Malaysia pada Oktober ini. Konsert ini bukan sekadar persembahan, ia adalah satu sambutan muzik, budaya dan hubungan sejagat.
“Dengan kerjasama rakan-rakan strategik, kami komited untuk mempersembahkan sebuah pengalaman hiburan secara langsung yang luar biasa,” ujar wakil Epic Elation.
Untuk info, tiket konsert Sean Paul Live In Malaysia dijual dengan harga serendah RM363 hingga RM473 di laman sesawang fantopia.io sejak 21 Julai lalu.-UTUSAN