Saya tidak mahu dipatuk kali kedua - Rafizi

Saya tidak mahu dipatuk kali kedua – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya akan move on. Saya tidak akan bertanding apa-apa jawatan di dalam PKR walaupun keputusan dibatalkan.”

Itu adalah jawapan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas ditanya soal kekalahan ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, budaya yang ditunjukkan parti itu pada pemilihan lalu tidak memberikan jaminan sebarang perubahan sekiranya berlaku pemilihan baharu.

“Saya rasa budaya yang ditunjukkan dalam PKR pada pemilihan lepas bukan sesuatu yang saya nak jadi sebahagian daripadanya.

“Walaupun ada pemilihan baharu, saya tidak rasa ‘dia’ atau kita ada kemampuan ‘membersihkan’ parti daripada budaya itu,” katanya dalam audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’, semalam.

Walaupun tidak menjelaskan secara spesifik maksud ‘budaya’ tersebut’, bekas Timbalan Presiden PKR itu juga tidak yakin dirinya mampu menghapuskan perkara itu dalam tempoh pendek sekiranya diberikan jawatan.

“Walaupun saya jadi Timbalan Presiden, saya tidak mahu dipatuk kali kedua, iaitu hanya untuk mendapatkan saya buat kerja dan budaya itu berkekalan. 

“Saya tidak yakin saya ada kemampuan dalam tempoh pendek untuk membersihkan budaya itu, jadi terima kasih, saya akan tumpu kepada kedai-kedai ‘runcit’ saya,” katanya.

Mengulas bertanding jawatan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Rafizi berkata, masih tiada keputusan dibuat selain tidak menolak kemungkinan sekiranya tidak bertanding langsung.

“Saya memang tidak berniat untuk menyertai PRU16. Kalau menteri pun saya sanggup lepaskan, apatah lagi sekadar tidak bertanding dalam pilihan raya.

“Sebenarnya, saya masih belum buat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak pada PRU16,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN