PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, beliau menyertai perarakan anjuran Badan Peguam Malaysia bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Lagi pula katanya, hak berhimpun secara aman bukan sahaja dijamin perlembagaan, malah didukung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, dalam semangat reformasi dan keadilan yang menjadi asas perjuangan PKR, kerajaan perlu menambah baik struktur sedia ada supaya lebih lebih telus dan bertanggungjawab.
“Saya turut bersama-sama Badan Peguam Malaysia berarak bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman.Hak untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan didukung oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan selepas menyertai perarakan bersama peguam dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Nurul Izzah yang turut diiringi suaminya, Yin Shao Loong berlata, di negara tiga cabang utama iaitu kehakiman, eksekutif dan perundangan dengan saling menyemak serta mengimbangi antara satu sama lain yang mana ia perlu dipertahankan.
Katanya, badan kehakiman yang bebas sangat penting untuk menghalang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan, jemaah menteri dan pihak eksekutif.
“Begitu juga mahkamah boleh menegur parlimen jika undang-undang yang diperkenalkan bersifat menindas atau bercanggah dengan perlembagaan.
“”Maka, perkara paling musatahak dalam menjamin keadilan adalah memastikan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada dari dalam atau luar badan kehakiman,” katanya.
Barisan peguam hari ini berarak dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri untul menyerahkan memorandum yang mengandungi empat tuntutan.
Tuntutan tersebut adalah pengisian kekosongan jawatan kehakiman tertinggi, pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan kehakiman secara menyeluruh. – UTUSAN