CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro semalam mengumumkan keadaan siap siaga maksimum selepas mendakwa lapan kapal perang Amerika Syarikat (AS) yang dilengkapi 1,200 peluru berpandu sedang mengancam keselamatan negaranya.
Washington sebelum ini mengumumkan penempatan kapal perang di kawasan Caribbean Selatan kononnya untuk operasi membanteras penyeludupan dadah, namun menafikan sebarang rancangan pencerobohan ke atas Venezuela.
Bagaimanapun, Maduro menyifatkan tindakan itu sebagai ancaman terbesar dalam tempoh 100 tahun di rantau berkenaan.
“Terdapat lapan kapal perang dengan 1,200 peluru berpandu dan sebuah kapal selam yang sedang mengintai Venezuela,” katanya pada sidang media bersama media antarabangsa di Caracas.
Menurut beliau, sebuah kapal perang peluru berpandu berpandu telah dikesan melalui Terusan Panama dari Lautan Pasifik menuju ke Laut Caribbean pada malam Jumaat lalu.
Maduro turut mendedahkan lebih lapan juta rakyat telah mendaftar sebagai pasukan simpanan dan Caracas sudah meningkatkan rondaan di perairan negara itu.
Washington pula baru-baru ini menggandakan ganjaran kepada AS$50 juta (RM211 juta) untuk penangkapan Maduro yang dituduh mengetuai kartel dadah.
Kemenangan semula beliau dalam pilihan raya 2018 dan 2024 tidak diiktiraf oleh AS serta sebahagian besar masyarakat antarabangsa atas dakwaan penipuan pilihan raya.
Dikenali dengan retorik lantang anti-AS, Maduro menegaskan Caracas tidak akan tunduk kepada ugutan atau ancaman sambil mendakwa saluran komunikasi dengan Washington kini terputus disamping turut menuduh Setiausaha Negara, Marco Rubio, cuba mempengaruhi Presiden Donald Trump untuk mencetuskan pertumpahan darah terhadap rakyat Venezuela.
Maduro sudah lama menjadi sasaran dasar tekanan maksimum Trump, termasuk embargo minyak, namun semua langkah itu gagal menjatuhkan kepimpinannya dan menurut penganalisis, langkah ketenteraan terbaru AS itu lebih kepada usaha meningkatkan tekanan ke atas Maduro berbanding niat untuk melancarkan serangan. -AGENSI










