Masjid bersejarah di Mosul dibuka semula selepas lapan tahun ditutup  - Utusan Malaysia

Masjid bersejarah di Mosul dibuka semula selepas lapan tahun ditutup 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Iraq semalam meraikan pembukaan semula Masjid Agung Al-Nuri dan menara condong bersejarahnya di tengah Kota Lama Mosul, lapan tahun selepas mercu tanda berusia lebih 850 tahun itu dimusnahkan oleh militan Daesh.

Masjid yang terkenal dengan menara condongnya itu diletupkan kumpulan pengganas berkenaan pada 2017 ketika mereka hampir tewas dalam pertempuran menguasai Mosul menentang tentera Iraq.

Projek pembinaan semula itu dikendalikan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan kerjasama pihak berkuasa warisan Iraq dan badan agama Sunni.

Struktur asal dibangunkan semula menggunakan teknik tradisional serta bahan yang diselamatkan daripada runtuhan, hasil dana berjumlah AS\$115 juta (RM538 juta) yang sebahagian besarnya disumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kesatuan Eropah (EU).

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al-Sudani berkata, pemulihan masjid itu menjadi simbol keberanian rakyat Iraq dalam mempertahankan tanah air serta membangunkan semula apa sahaja yang dimusnahkan musuh.

“Pembinaan semula ini akan menjadi penanda aras yang mengingatkan dunia bahawa rakyat Iraq tetap teguh mempertahankan maruah dan tanah air mereka,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus menyokong pembangunan kebudayaan dan warisan negara sebagai keperluan sosial, pintu hubungan dengan dunia, peluang pembangunan mampan serta ruang inovasi untuk generasi muda.

Pada zaman kemuncaknya, kumpulan militan Daesh menguasai sebahagian wilayah di Iraq dan Syria, dan terkenal dengan kekejaman termasuk memenggal kepala orang awam, memperhambakan serta merogol ribuan wanita komuniti Yazidi, salah satu minoriti agama tertua di Iraq.

Selain masjid berkenaan, beberapa gereja yang rosak teruk akibat perang turut dibaik pulih di bawah projek pemulihan tersebut, bagi mengekalkan warisan komuniti Kristian Mosul yang semakin mengecil.

Projek pembinaan semula Mosul ini dilihat sebagai model pemulihan warisan budaya di kawasan yang dilanda konflik, termasuk Syria yang kini mula bangkit selepas hampir 14 tahun dilanda perang saudara susulan kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad tahun lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN