TEL AVIV: Ketua Staf Tentera Israel, Eyal Zamir pada Ahad mengugut membunuh pemimpin Hamas yang berada di luar negara ketika rejim tersebut terus melancarkan serangan besar-besaran di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu.
“Tindakan kami masih belum selesai. Kebanyakan pimpinan Hamas kini berada di luar negara, dan kami akan sampai kepada mereka juga,” katanya dalam kenyataan yang dipetik daripada siaran rasmi tentera Israel.
Zamir turut mendakwa tenteranya beroperasi dengan inisiatif dan kelebihan operasi di semua medan, termasuk melancarkan serangan besar di Yaman, Lubnan, Syria dan beberapa lokasi lain.
Awal Ahad, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mendakwa jurucakap sayap tentera Hamas, Abu Obeida, terbunuh dalam operasi bersama tentera Israel dan agensi keselamatan domestik, Shin Bet, di Gaza.
Namun, Hamas sehingga kini tidak mengesahkan dakwaan tersebut.
Sejak perang meletus pada Oktober 2023, serangan tanpa henti Israel telah meragut hampir 63,500 nyawa penduduk Palestin di Gaza, kebanyakannya orang awam, selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kebuluran teruk di wilayah berkenaan.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kekejaman yang dilakukan di wilayah terkepung itu. -AGENSI










