NUKILAN pelakon, Gibran Agi, sempena ulang tahun kelahiran isterinya, Ruhil Shafinaz Hussin di Instagram baru-baru ini menyentuh perasaan netizen.
Menerusi luahannya itu, pemilik nama penuh Gibran Agi Abdul Ghaffar menyulam doa agar Allah menunaikan semua permintaan isteri kesayangannya.
Sehingga ke titik ini Ruhil masih menderita akibat perbuatan khianat manusia.
Tapi, pelakon ini tidak pernah berputus asa dengan rahmat Tuhan. Dia terus menaruh harap agar penderitaan isterinya berakhir satu hari nanti.
“Sudah lama isteri saya tak sihat. Bermacam-macam gangguan dialaminya. Kami masih belajar untuk hadapi.
“Enam tahun kami tanggung semua ini, mungkin sekarang sudah terbiasa. Ramai juga yang bertanya tentang keadaan isteri saya. Insya-Allah, dia beransur pulih.
“Keadaannya tidak menentu. Ketika kami merasakan gangguan-gangguan itu sudah berakhir, ia kembali.
“Jadi, mahu atau tidak, kami kena belajar membiasakan diri dengan semua ini. Namun kami tidak pernah berhenti ikhtiar,” katanya.
Kata Gibran, pelbagai rawatan dan bermacam-macam usaha sudah mereka lakukan namun gangguan tetap berulang.
“Gangguan isteri saya hadap ini memang teruk. Kalau diceritakan, banyak episodnya.
“Ramai perawat kami dah jumpa dan rata-ratanya memberitahu kalau ikutkan, isteri saya sudah lama ‘pergi’.
“Tetapi semua ini ketentuan Allah. Saya percaya satu hari nanti Allah akan sembuhkan isteri saya,” ujarnya.
DERITA, PENAT
Siapa yang mampu menahan pedih melihat insan tersayang menanggung sakit? Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa.
Gibran turut merasakan setiap penderitaan yang ditanggung isterinya.
“Kalau ikutkan, memanglah letih dan memenatkan. Sudah ramai perawat kami jumpa. Gangguan tetap berterusan.
“Ada masa masalah ini macam selesai. Namun kemudian jadi semula. Disebabkan itu kami terpaksa rujuk perawat yang lain.
“Itulah cabaran kehidupan kami sekeluarga yang sebelum ini kami tak ceritakan kepada ramai orang,” kongsinya.
Kata Gibran, tiada apa yang dihajatkan sekarang ini kecuali kesembuhan isterinya secara berkekalan.
“Saya tak tahu kenapa isteri saya diperlakukan sebegini, siapa di sebalik ‘buatan’ ini pun kami tak tahu.
“Semua perawat yang kami jumpa tidak pernah berkongsi tentang perkara ini.
“Tapi kami pun tak mahu tahu semua itu kerana yang kami harapkan adalah episod hitam ini berakhir,” katanya.