‘Sarang’ penagihan dadah digempur, 121 penagih dicekup

‘Sarang’ penagihan dadah digempur, 121 penagih dicekup

ANTARA individu yang ditahan dalam operasi khas itu di Kuala Selangor, Petaling dan Klang, Selangor, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seramai 121 orang penagih dadah termasuk enam wanita dicekup pihak berkuasa yang menggempur ‘sarang’ penagihan dadah di tiga buah daerah di Selangor, minggu lalu.

Serbuan selama tiga hari itu itu dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menerusi Op Perdana bermula 23 hingga 25 Jun lalu yang turut dijalankan di sekitar Petaling dan Klang.

Pengarah AADK Selangor, Nazir Mohamad berkata, sepasukan 90 anggota AADK digerakkan dalam operasi itu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Seramai 315 individu telah ditahan diperiksa dengan 121 daripada mereka disahkan positif dadah. 

“Majoriti mereka yang dicekup itu berusia antara 19 dan 60 tahun termasuk enam wanita,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, metamphetamine menjadi dadah paling banyak dikesan pihaknya iaitu 58 kes selain kombinasi opiat dan ganja.

“Rampasan sepanjang operasi itu turut melibatkan pelbagai jenis dadah lain antaranya heroin dan pil kuda. Semua bahan terlarang itu dipercayai bagi kegunaan sendiri dan edaran kecil-kecilan di ‘port’ penagihan yang aktif,” ujarnya.

Tambah Nazir, kes itu antaranya disiasat Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Dua individu turut diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan semua yang ditahan bakal dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

“AADK akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi memastikan komuniti di Selangor bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN