Beli senapang M4, ratusan peluru untuk diseludup ke Malaysia - Utusan Malaysia

Beli senapang M4, ratusan peluru untuk diseludup ke Malaysia

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senjata api jenis M4 dan ratusan butir peluru yang ditemukan dalam kereta yang dipandu rakyat Malaysia di Sadao, Songkhla, Thailand dipercayai dibeli di negara itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, senjata dibeli suspek berusia 46 tahun itu dipercayai untuk diseludup masuk ke negara ini.

“Kita ada menerima maklumat ini dan sedang dalam usaha mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Semalam, lelaki berkenaan ditahan pihak berkuasa Thailand bersama senjata api jenis M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya.

Suspek ditahan pada pukul 5.35 petang di sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.

Sekatan jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.

Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemukan dua laras M4, 300 butir peluru kaliber 5.56 millimeter (mm), tujuh magazin peluru 5.56mm, 100 butir peluru kaliber .45mm dan 50 butir peluru kaliber 9mm.

Semua senjata dan peluru berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.

Polis Thailand masih menyiasat tujuan sebenar pemilikan senjata dan peluru dalam jumlah besar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN