Rakyat Malaysia beli senjata api perang M4, ratusan peluru untuk diseludup ke Malaysia

Rakyat Malaysia beli senjata api perang M4, ratusan peluru untuk diseludup ke Malaysia

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru yang ditemukan di dalam kereta yang dipandu rakyat Malaysia di Sadao, Songkhla, Thailand dipercayai dibeli di negara itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, senjata dibeli suspek berusia 46 tahun dipercayai untuk di bawa masuk ke negara ini.

“Kita ada menerima maklumat ini dan sedang dalam usaha mendapatkan maklumat lanjut,” katanya di sini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, lelaki berkenaan ditahan pihak berkuasa Thailand bersama senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya.

Suspek ditahan pada 5.35 petang di sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.

Sekata jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.

Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemukan dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 mm; tujuh magazin peluru 5.56 mm; 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm.

Semua senjata dan peluru berkenaan telah dirampas sebagai barang kes untuk siasatan lanjut.

Polis Thailand kini masih menyiasat tujuan sebenar pemilikan senjata perang dan peluru dalam jumlah besar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN