Saksi penting kes ugutan bunuh Exco Armada Bersatu bakal dipanggil

Saksi penting kes ugutan bunuh Exco Armada Bersatu bakal dipanggil

SULIZMIE AFFENDY SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan merakam keterangan saksi penting dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung ugutan bunuh membabitkan Exco Armada Bersatu Malaysia yang juga pengarah sebuah syarikat baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, setakat ini keterangan pengadu dan isterinya sudah dirakam percakapan.

“Kita masih menunggu untuk merakam keterangan saksi penting terbabit kerana ada tugasan luar.

“Saksi penting terbabit akan memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat ini, seramai dua individu iaitu pengadu dan isterinya telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sabtu lalu, media melaporkan pihak polis sudah mengenal pasti saksi penting berhubung kes berkenaan.

Sulizmie Affendy dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek yang didakwa merancang untuk membunuhnya.

“Polis percaya keterangan saksi penting itu adalah kunci untuk menjejaki pelaku terlibat dan memperjelas motif ugutan ke atas pengadu.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan ke atas mana-mana individu berkaitan kes berkenaan,” katanya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah melalui perantaraan nama yang disembunyikan.

Sebelum ini, media melaporkan Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage mendedahkan menerima ugutan bunuh termasuk ancaman disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Beliau membuat laporan polis atas sebab bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN