Saintis marin wanita USM terima anugerah berprestij di Perancis

Saintis marin wanita USM terima anugerah berprestij di Perancis

AILEEN Tan Shau Hwai (kanan) ketika menerima Anton Bruun Medal dalam satu majlis di Paris, Perancis baru-baru ini.-GAMBAR/USM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah baharu di peringkat antarabangsa apabila saintis marin wanitanya, Prof. Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai dianugerahkan Anton Bruun Medal dalam satu majlis di Paris, Perancis baru-baru ini.

Aileen yang juga Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM menerima anugerah itu sempena ’33rd Session of the Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) Assembly’ di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan tersebut bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan Aileen dalam bidang pengurusan dan pemuliharaan ekosistem marin, malah, turut membuktikan keupayaan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul dalam penyelidikan bertaraf dunia.

Bersempena dengan pengurniaan pingat tersebut, Aileen turut menyampaikan syarahan berprestij ‘Anton Bruun Memorial Lecture’ bertajuk ‘Menjana Penyelesaian Lautan Secara Bersama: Memperkasa Komuniti Pesisir Pantai melalui Integrasi Sains dan Polisi.’

Dalam syarahannya, beliau menekankan keperluan kritikal agar sains dimanfaatkan demi kesejahteraan manusia sejagat selain turut menggesa pelaksanaan pendekatan menyeluruh yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat dalam tadbir urus lautan yang mampan.

“Sains menghubungkan manusia. Manusia pula terhubung dengan alam semula jadi,” ujarnya yang turut menggesa kerjasama rentas disiplin dan sektor bagi memastikan penyelesaian lautan yang inklusif dan mampu dilaksanakan dengan rakyat sebagai teras bagi setiap usaha yang dilakukan.

Sebagai peneraju dalam pemuliharaan marin berasaskan komuniti dan akuakultur lestari pula, Aileen turut berkongsi kisah-kisah kejayaan hasil kerjasama beliau bersama komuniti pesisir pantai di Malaysia.

Menurut Aileen, apabila sains telah ‘dimanusiakan’, ia memberi impak nyata dan mencipta nilai yang diterjemahkan melalui peningkatan sumber pendapatan, pemerkasaan gender serta penjagaan ekosistem secara berterusan.

“Paling utama, kita perlu membina kepercayaan dan kekal kepada misi dan visi dalam merealisasikan segala usaha,” kata beliau.

Terdahulu, Anton Bruun Medal diperkenalkan pada 1970 bagi memperingati tokoh oseanografi terkemuka dari Denmark dan Pengerusi pertama Suruhanjaya tersebut, iaitu Dr. Anton Frederick Bruun.

Pingat tersebut dianugerahkan kepada individu yang telah menyumbang kepada kemajuan penting dan signifikan dalam bidang kajian pepejal bumi, oseanografi fizikal dan kimia, meteorologi serta biologi marin bersempena perhimpunan IOC yang diadakan setiap dua tahun sekali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN