Siswa Sulung realisasi impian kembar ke menara gading bersama

Siswa Sulung realisasi impian kembar ke menara gading bersama

A'JWAA Abdul Hadi (tengah) ketika menerima bantuan Siswa Sulung USM daripada Abdul Rahman Mohamed (dua dari kiri) di rumahnya di Kampung Guar Tuan Syed, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Pasangan kembar ini pernah mengimpikan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama.

Impian tersebut akhirnya tercapai apabila salah seorang daripada mereka berjaya memperolehi pengecualian yuran melalui program Siswa Sulung USM.

A’jwaa Abdul Hadi, 20, ditawarkan untuk mengikuti program Sarjana Muda Sains Gunaan (Agrobiologi/Bioteknologi/Biologi Persekitaran/Entomologi & Parasitologi) manakala kembarnya, Najwaa, juga bakal melanjutkan pengajian di universiti yang sama dalam bidang Sarjana Muda Sains Matematik dengan Kepujian.

A’jwaa yang juga merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia hampir menangguhkan pengajiannya sebelum ini kerana menghadapi kekangan dari segi kewangan.

Katanya, dia terpaksa memikirkan perkara itu walaupun dia telah berusaha melakukan pelbagai kerja untuk menambah wang termasuk bekerja lebih masa di kilang selepas tamat program matrikulasi.

“Saya rasa nak daftar pengajian pada tahun depan sebab perlu kumpul duit dulu dan tidak mahu menyusahkan ayah yang bekerja sebagai tukang kimpalan besi manakala ibu pula mengambil upah mengasuh anak jiran.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur dengan bantuan yang diterima ini kerana ia setidak-tidaknya dapat meringankan beban keluarga,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Naib Canselor USM, Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di Kampung Guar Tuan Syed, Penaga di sini, hari ini.

Selain menyampaikan surat tawaran Siswa Sulung kepada A’jwaa, Abdul Rahman turut menyerahkan kit bantuan keperluan asas untuk kegunaan pelajar baharu kepada pasangan kembar terbabit.

Menurut Abdul Rahman, pihak universiti sedia membantu pelajar yang memerlukan bantuan terutamanya berkaitan pembayaran yuran.

“Jangan bimbang tentang perkara itu (yuran). Paling penting, datang, lapor diri dan daftar dahulu. Tentang pembayaran pula, kita akan bantu kemudian. Paling utama, kami tidak mahu kemiskinan menghalang mereka daripada terus menyambung pelajaran,” katanya.

Untuk rekod, USM memperuntukkan RM2.8 juta kepada 280 penerima Siswa Sulung, khusus untuk pelajar generasi pertama keluarga B40 yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi Sidang Akademik 2025/2026.

Menerusi peruntukan ini, pelajar yang terlibat akan menikmati pengecualian penuh yuran pengajian, yuran pendaftaran, yuran berulang serta pelbagai yuran akademik lain sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun di universiti berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN