RMK-13: PMKS sasar sumbang 50 peratus KDNK menjelang 2030

RMK-13: PMKS sasar sumbang 50 peratus KDNK menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diperkukuh bagi mencapai sasaran 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu dilaksanakan melalui sokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merangkumi program pembangunan kapasiti, pendigitalan dan penambahbaikan operasi.

“Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan Dana Pelaburan Strategik, pengukuhan modal kerja dan pembiayaan projek serta Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi juga menjadi agenda utama bagi menyokong pertumbuhan industri, dengan pengukuhan kerjasama antara agensi seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Anwar berkata, kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), akan diperkasa sebagai pemangkin peningkatan kemahiran tenaga kerja.

“Penawaran program TVET akan distrategikan semula dengan penekanan kepada sektor High Growth High Value (HGHV) dan teknologi termaju, selaras dengan keperluan industri di kawasan strategik seperti Johor-Singapore SEZ (JS-SEZ), Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan Kota Kinabalu Industrial Park (KIGIP),” katanya.

Anwar berkata, dalam tempoh RMK13, Malaysia menyasarkan  700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 peluang pekerjaan  dalam bidang ekonomi digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN