Remaja tunggang motosikal lawan arus dakwa silap laluan

Remaja tunggang motosikal lawan arus dakwa silap laluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis berjaya menahan seorang remaja perempuan dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus di Kilometer 38 Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Hutan Kampung, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, tindakan remaja itu dikesan selepas satu video berdurasi 23 saat memaparkan perbuatan itu tular di media sosial pada 4 Julai lalu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati remaja terbabit memberi alasan tersalah laluan selepas menggunakan aplikasi navigasi di telefon bimbit miliknya ketika dalam perjalanan pulang ke Pendang.

“Remaja perempuan itu tampil menyerah diri di Balai Polis Trafik Daerah Kota Setar kira-kira pukul 9 malam tadi sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk permohonan reman hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang

RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, Siti Nor Salawati menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandang ringan aspek keselamatan di jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN