Ratu telenovela yang pernah ‘mendunia’ - Utusan Malaysia

Ratu telenovela yang pernah ‘mendunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGHUJUNG era 90-an dan awal 2000 menyaksikan kemeriahan drama-drama telenovela dari negara-negara Amerika Latin yang menembusi pasaran global.

Drama telenovela seperti La Usurpadora, Maria Mercedes, Rosalinda, Mis Tres Hermanas, Yo Soy Betty, La Fea dan banyak lagi mencipta fenomena sehingga ada antaranya diadaptasi di beberapa negara termasuk Malaysia.

Dan disebabkan drama-drama telenovela ini jugalah, ramai bintang Amerika Latin menerima tempias populariti sekali gus menjadi ikutan peminat seluruh dunia.
Berikut empat ratu telenovela yang satu ketika dulu pernah ‘mendunia’ dan menjadi kegilaan peminat di peringkat global.

SCARLET ORTIZ

Peminat drama telenovela pasti sinonim dengan pelakon ini yang sekitar 25 tahun lalu mendunia menerusi drama televisyen Mis Tres Hermanas.

Kerjaya lakonan bekas ratu cantik Venezuela ini terus menyinar menerusi beberapa drama popular antaranya Rafaela, Mi Vida eres tu, Amas de Casa Desesperadas dan banyak lagi.

Pelakon jelita ini menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon dan model, Yul Burkle pada tahun 1999. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Barbara Brianna Burkle.

Ortiz antara pelakon yang jarang mencipta kontroversi. Namun tahun ini, bintang ini menjadi mangsa berita palsu apabila dia dikatakan telah meninggal dunia.

Khabar angin tersebut tular di media sosial dan turut dilaporkan agensi berita di beberapa negara.

ANA MARIA OROZCO

Pelakon kelahiran Bogota, Colombia ini amat dikenali menerusi drama Yo soy Betty, La Fea yang mula ditayangkan pada 1999 sebelum mendunia apabila ditayangkan di peringkat global antara 2002 hingga 2003.

Penangan drama itu melayakkan Ana Maria menerima pelbagai pengiktirafan dan penganugerahan antaranya trofi personaliti wanita antarabangsa dalam anugerah New York Latin ACE Award pada 2001.

Beliau juga dipilih sebagai penerima trofi INTE Awards.

GABRIELA SPANIC

Pelakon jelita berasal dari Venezuela ini mendunia menerusi telenovela mexico, La usurpadora yang ditayangkan pada 1998.

Gabriela dihujani pujian atas keberkesanannya membawa watak pasangan kembar, Paola dan Paulina dalam drama itu sehingga melayakkannya menggenggam trofi pelakon wanita terbaik anugerah Premios TVyNovelas pada 1999.

Pada 2010, pembantu peribadi bekas ratu cantik ini iaitu Marcia Celeste Fernandez Babio diberkas polis atas cubaan membunuh Gabriela serta keluarga dan pembantu rumahnya.

Gabriela sehingga ke hari ini kekal aktif dengan kerja-kerja seninya termasuk pembabitan dalam rancangan Secretos de Villanas yang mengumpulkan pelakon watak antagonis ikonik yang lain.

THALIA

Pelakon yang menerima julukan ratu telenovela ini mencipta pelbagai kejayaan menerusi drama-drama lakonannya seperti Marimar pada 1994, Maria Mercedes dan Rosalinda (1999).

Thalia pernah merangkul pelakon baru terbaik pada penganjuran anugerah TVyNovela pada 1993 hasil lakonannya menerusi drama Maria Mercedes.

Kerjaya nyanyiannya bergerak seiring dengan penghasilan 20 buah album. Karier muziknya juga diiktiraf dengan kemenangan lima trofi Billaboard Latin Music Awards selain menerima 17 pencalonan dalam penganugerahan yang sama.

Pemilik nama penuh Ariadna Thalia Sodi Miranda ini juga tidak terkecuali terkait dengan kontroversi antaranya berdepan tuduhan bersikap diva dan membuat tuntutan keterlaluan terhadap syarikat Edf Brands yang bekerjasama mengeluarkan produknya.

Pihak syarikat gergasi itu mendakwa Thalia menuntut diberikan penerbangan peribadi, hotel mewah, perkhidmatan pengawal keselamatan bertaraf dunia dan banyak lagi.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN