Anwar selar pembangkang tidak faham kandungan ART 2025

Anwar selar pembangkang tidak faham kandungan ART 2025

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap pada Festival Idea Putrajaya 2025 hari ini.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap pembangkang yang lantang mengkritik Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) dengan Amerika Syarikat (AS) tanpa memahami kandungan sebenar perjanjian tersebut.

Menurut beliau, kritikan melulu tanpa asas itu mencerminkan tahap perbahasan politik negara yang masih rendah dan tidak berasaskan ilmu serta kefahaman mendalam terhadap isu yang dibangkitkan.

“Kadang-kadang rakan-rakan di Parlimen bila ada perjanjian dengan Amerika Syarikat, terus kata kita mengalah, kita dijajah. Dah baca ke belum? Faham ke tidak? Ini jadi masalah. Tahap perdebatan itu rendah.

“Saya fikir kadang-kadang pemimpin-pemimpin mahasiswa itu lebih hebat daripada sebahagian ahli Parlimen yang ada,” katanya ketika berucap pada Festival Idea Putrajaya 2025  di sini hari ini.

Anwar berkata, pemimpin politik seharusnya menilai sesuatu dasar atau perjanjian berdasarkan manfaat kepada rakyat dan negara, bukan menanam sentimen kebencian atau prejudis yang mengelirukan.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dagangan dan penyelidikan dengan negara luar secara bijaksana bagi memperkukuh kedudukan ekonomi serta akademik negara.

“Mesyuarat ASEAN baru-baru ini menunjukkan semua negara berminat untuk melabur, meningkatkan perdagangan, penyelidikan dan kerjasama universiti. Ini menunjukkan Malaysia semakin diyakini,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru generasi muda khususnya mahasiswa agar menjadi pelopor kepada percambahan idea yang segar, berpaksikan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

“Kita sudah merdeka hampir tujuh dekad tetapi masih ada yang terperangkap dengan idea kuno dan jumud, menghina kaum, memperlekeh budaya sendiri. Idea sebegitu belum merdeka.

“Saya mahu anak muda membawa idea baharu yang mengangkat martabat bangsa dan negara,” tegasnya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan perjuangan membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara terus diperkasa kerajaan dengan hasil ketara sejak dua tahun lalu.

“Belum pernah dalam sejarah, dalam dua tahun ini kita berjaya menghentikan banyak penyeludupan, perjudian dalam talian, ketirisan dan rasuah. RM15.5 bilion telah diselamatkan.

“Tapi sepatah pun tidak kedengaran dari pembangkang menyokong usaha ini. Malah, ada yang mahu pertahankan perasuah besar,” katanya.

Beliau berkata, nilai yang wajar ditegakkan oleh generasi muda ialah nilai menolak rasuah, permusuhan kaum dan kezaliman, sebaliknya membina semangat cintakan negara serta memperjuangkan keadilan.

“Kalau mahu selamatkan negara ini, selamatkan daripada atas hingga ke bawah dengan idea sihat dan tindakan berprinsip. Benci rasuah, benci ketidakadilan dan benci permusuhan kaum. Itulah asas untuk menjadikan Malaysia negara hebat,” ujar beliau. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN