Raja Perlis perkenan hasrat tubuh pejabat Arkib Negara

Raja Perlis perkenan hasrat tubuh pejabat Arkib Negara

JAAFAR Sidek Abdul Rahman (kiri) mempersembahkan penerangan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika lawatan kerja baginda ke Arkib Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengalu-alukan hasrat Arkib Negara untuk mewujudkan pejabatnya di Perlis.

Baginda turut menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan Arkib Negara dalam memelihara warisan sejarah negara secara umumnya dan Perlis khususnya ketika berangkat mengadakan lawatan kerja ke agensi itu di ibu negara dekat sini, semalam.

“Tuanku Syed Sirajuddin meluangkan masa hampir tiga jam dalam lawatan berkenaan selain turut dipersembahkan penerangan mengenai koleksi terpenting Arkib Negara berkaitan Perlis dan sejarahnya.

“Lawatan itu melakar satu lagi detik penting dalam hubungan strategik antara Perlis dan Arkib Negara, ke arah memperkasa dokumentasi sejarah dan memperkukuh nilai warisan bangsa untuk tatapan generasi akan datang,” kata Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan, hari ini.

Ketibaan baginda disambut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut mengiring ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Setakat ini, sebanyak 11,670 rekod berkaitan Perlis telah direkod dan disimpan oleh Arkib Negara, termasuk bahan berharga berkaitan adat istiadat Melayu.

Jaafar Sidek turut memaklumkan mengenai perancangan Arkib Negara bagi menubuhkan Majlis Sejarawan Negara.

Cadangan asal untuk dipertimbangkan agar diwujudkan pejabat Arkib Negara di Perlis pernah diutarakan oleh Tuanku Syed Faizuddin pada Disember 2023.

Arkib Negara yang ditubuhkan pada 1957 dengan nama asal Pejabat Rekod Awam kini berfungsi di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara sejak 2022.

Agensi itu menjalankan peranan utama dalam pengurusan rekod awam, pentadbiran arkib dan pengendalian arkib memorial negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN