JOHOR BAHRU: Seramai 150 individu termasuk 147 orang warga asing ditahan polis dalam operasi bersepadu di pusat-pusat mencuci kenderaan di sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 57 tahun itu ditahan di 64 buah pusat cuci kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki permit kerja dan pas masuk ke negara ini.
“Tangkapan dibuat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
“Siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 melibatkan kesalahan perjudian dalam talian serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, operasi berkenaan turut melibatkan penguatkuasaan ekoran kesalahan menyambung bekalan air secara haram di bawah Seksyen 89(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut keluarkan kompaun terhadap pengusaha yang gagal mempamerkan papan tanda, lesen tamat tempoh dan tidak mencatat nama perakuan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula mengambil tindakan kompaun atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa tempatan pula menyita peralatan dan mengeluarkan kompaun terhadap premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen. – UTUSAN