Kerajaan Indonesia tanggung kenaikan kos haji 26.5 peratus

Kerajaan Indonesia tanggung kenaikan kos haji 26.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan menyerap kenaikan mendadak kos ibadah haji tahun ini susulan lonjakan harga minyak sejagat dan risiko geopolitik di Asia Barat yang meningkatkan kos perjalanan ke Tanah Suci.

Menteri Haji dan Umrah, Mochamad Irfan Yusuf berkata, jumlah keseluruhan kos berkaitan haji meningkat sebanyak 26.5 peratus atau 1.77 trilion rupiah (RM407.8 juta), daripada 6.69 trilion rupiah (RM1.54 billion) kepada 8.46 trilion rupiah (RM1.95 billion).

Peningkatan itu sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan harga bahan api penerbangan serta caj tambahan berkaitan risiko.

“Kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan peningkatan harga minyak mentah yang memberi kesan langsung kepada kos penerbangan jemaah haji,” katanya dalam sidang bersama Anggota Parlimen di Jakarta semalam.

Menurut beliau, tambahan kos itu berpunca daripada cadangan syarikat penerbangan yang membawa jemaah haji Indonesia ke Arab Saudi, termasuk Garuda Indonesia dan Saudia Airlines.

Garuda memohon tambahan 974.8 bilion rupiah (RM224.6 juta), manakala Saudia Airlines mengusulkan kenaikan sebanyak 802.8 bilion rupiah (RM184.9 juta).

Walaupun berlaku peningkatan kos yang ketara, Presiden, Prabowo Subianto, mengarahkan supaya beban tambahan itu tidak dipindahkan kepada jemaah.

“Presiden telah menegaskan kenaikan ini tidak boleh ditanggung oleh jemaah haji,” kata Irfan.

Bagi menampung kekurangan tersebut, pemerintah merancang menggunakan dana haji yang dikenali sebagai Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH), iaitu dana khusus bagi membiayai keperluan berkaitan ibadah haji.

Irfan turut menjelaskan kementeriannya sedang menyelaras dengan Pejabat Peguam Negara bagi memastikan asas undang-undang penggunaan dana tersebut, khususnya dalam keadaan ‘force majeure’ atau keadaan luar jangka.

“Ketika ini, kami sedang menyelaras dengan pihak berkaitan untuk memastikan status keadaan luar jangka serta kesahihan sumber pembiayaan,” katanya.

Beliau menambah, kos penerbangan bagi petugas yang mengiringi jemaah akan ditanggung sepenuhnya oleh belanjawan negara.

Dalam masa sama, permintaan terhadap kuota haji di Indonesia terus jauh melebihi bekalan.

Negara itu menerima kira-kira 220,000 kuota anggota jemaah setiap tahun daripada Arab Saudi, namun, mempunyai sekitar 5.7 juta pendaftar di seluruh negara.

Timbalan Menteri, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, tempoh menunggu bagi program haji biasa kini boleh mencecah sehingga 26 tahun di beberapa wilayah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN