Pulau Pinang galak transaksi nirtunai melalui kempen Cashless 3.0

Pulau Pinang galak transaksi nirtunai melalui kempen Cashless 3.0

H'NG Mooi Lye (tiga dari kiri) pada Majlis Peluncuran Cashless 3.0 2025 dan Anugerah Nirtunai Bagi Jabatan Dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang dijangka melancarkan kempen Cashless 3.0 bermula September ini bagi menggalakkan lebih banyak jabatan dan agensi kerajaan negeri menggunakan transaksi nirtunai atau tanpa tunai dalam urusan harian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’Ng Mooi Lye berkata, kempen itu akan berlangsung selama tiga bulan dan sepanjang tempoh tersebut, hanya satu hari sahaja dibenarkan untuk melakukan transaksi tunai pada setiap minggu.

Beliau berkata, kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif pintar bagi mencapai aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi negeri bebas tunai 100 peratus menjelang 2030.

“Oleh itu, saya amat berharap agar semua pihak dapat berganding bahu dan lebih kreatif dalam mempromosikan budaya ‘cashless’ (tanpa tunai) ini di jabatan atau agensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Cashless 3.0 2025 dan Anugerah Nirtunai Bagi Jabatan Dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Bayan Lepas di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori A kerana merekodkan lebih 30,000 transaksi nirtunai setakat ini diikuti oleh Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Kategori B iaitu pejabat atau agensi yang merekodkan transaksi nirtunai antara 1,000 hingga 30,000 diungguli oleh Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang manakala kategori C yang melibatkan kurang daripada 1,000 transaksi menjadi milik Unit Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI).

Empat jabatan atau agensi iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, Jabatan Taman Botani, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara pula terpilih untuk menerima Anugerah Jabatan Harapan Ke Arah Nirtunai.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran berkata, pihaknya mula melaksanakan program transaksi tanpa tunai sepenuhnya sejak Mei tahun lepas.

“Kita buat banyak usaha ke arah itu. Kita buat sesi ‘town-hall’ (perjumpaan terbuka) dan kita maklum kepada semua pihak semasa mereka datang ke kaunter untuk buat pembayaran.

“Pada masa yang sama, kita juga menempatkan pegawai-pegawai kita untuk membantu orang ramai menggunakan kiosk atau membuat bayaran ‘online’ (dalam talian) dan semua ini sangat membantu,” katanya yang turut menggalakkan orang awam atau peniaga untuk terus menggunakan aplikasi mudah alih atau e-perkhidmatan MBPP iaitu PEARL-One Touch Penang bagi sebarang urusan dalam talian.

Untuk rekod, Pulau Pinang dinobatkan sebagai negeri nirtunai pertama di Malaysia setelah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Paynet iaitu tahap penggunaan atau transaksi melebihi 95% sepanjang tahun lepas.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN