Program motivasi kontroversi: Polis panggil 50 individu - Utusan Malaysia

Program motivasi kontroversi: Polis panggil 50 individu

Cyberjaya
HUSSEIN Omar Khan memberi penjelasan berhubung kes kematian seorang mahasiswi sebuah universiti swasta, pada sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan memanggil 50 individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keterangan mereka ini akan diambil dalam masa terdekat.

“Polis akan mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri (penganjur program) itu terlebih dahulu.

“Seramai 50 orang akan dipanggil. Namun, saya tidak boleh kongsikan lagi bila mereka akan diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Hussein, pihaknya masih belum dapat mengesahkan kandungan air ‘Piya’ yang didakwa mengandungi bahan mengkhayalkan selepas diminum oleh peserta program.

Katanya, sampel air itu masih dalam proses siasatan dan belum dihantar ke makmal forensik.

“Jadi, kita belum dapat sahkan (dakwaan kandungan bahan terlarang dalam air terbabit),” ujarnya.

Jumaat lalu, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga terbabit.

Ini susulan masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.

Dalam hantaran yang tular di laman Facebook berkenaan, turut didakwa bahawa terdapat wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor.

Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh yang singkat.

Selain itu, peserta turut disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN