Program Ekonomi Madani bantu keluarga tentera jana pendapatan tambahan - Utusan Malaysia

Program Ekonomi Madani bantu keluarga tentera jana pendapatan tambahan

MOHAMED Khaled Nordin ketika meninjau projek madu kelulut di Kem Sungai Ara, di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Projek-projek di bawah Program Ekonomi Madani yang diperkenalkan di kem-kem tentera dapat menyumbang kepada penjanaan pendapatan tambahan buat keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta merancakkan industri hiliran pertanian negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesiapsiagaan ATM tidak hanya bergantung kepada kekuatan aset dan latihan anggota, sebaliknya, ia turut mengambil kira kesejahteraan keluarga mereka yang menjadi tulang belakang kepada kestabilan komuniti pertahanan.

“Dalam soal menghargai sumbangan dan pengorbanan Angkatan Tentera, kita faham bahawa kesejahteraan anggota termasuklah soal keluarga mereka. 

“Jadi, dengan kerjasama rakan-rakan strategik daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kita telah mengenal pasti beberapa ilmu yang boleh kita pindahkan menerusi Program Ekonomi Madani bagi penggunaan keluarga anggota yang berada dalam kem.

“Ia juga membantu peranan yang boleh dimainkan oleh tentera terutamanya keluarga mereka dalam soal untuk membangunkan industri dan menjayakan soal keterjaminan makanan. Ini secara tak langsung membantu untuk menjayakan industri hiliran pertanian,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi lawatan kerja ke Kem Sungai Ara di sini, hari ini.

Lawatan itu turut disertai oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama barisan kepimpinan kanan ATM serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan.

Sepanjang lawatan, Mohamed Khaled turut meninjau pelaksanaan dua projek utama di bawah Program Ekonomi Madani di kem tersebut iaitu penternakan madu kelulut dan cendawan tiram hasil kerjasama strategik bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Projek madu kelulut yang dijalankan oleh pasukan 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) dengan kerjasama USM menggunakan ‘log hive’ dan teknologi bioteknologi bagi menghasilkan madu berkualiti tinggi melalui kaedah penternakan sistematik.

Sementara itu, projek penternakan cendawan tiram pula melibatkan pembinaan rumah cendawan tertutup yang dilengkapi kawalan suhu dan kelembapan bagi memastikan hasil tuaian yang konsisten dan berkualiti.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, inisiatif menerusi projek di bawah Program Ekonomi Madani itu bukan sahaja mengisi masa lapang keluarga tentera, malah menjadi sumber pendapatan tambahan serta medan pemindahan ilmu antara universiti dan masyarakat dalam kem.

“Program seperti ini beri manfaat besar dari segi pendapatan, latihan teknikal, keterjaminan makanan, dan paling penting ia bangunkan minat yang berpotensi menjana pulangan ekonomi kepada keluarga tentera,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Pusat turut memperuntukkan RM10 juta khusus bagi menjayakan Program Ekonomi Madani dalam kem seluruh negara, termasuk projek-projek usahawan mikro seperti ini.

“Dari segi sambutan, saya sangat menghargai sambutan keluarga tentera kepada Program Ekonomi Madani ini. Kita sedia menambah skala projek jika ada permintaan tinggi. Projek madu kelulut kini telah bersedia untuk dipasarkan, manakala hasil cendawan sedang dirunding untuk dipasarkan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN