KUALA LUMPUR: UMNO memberi tumpuan utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar yang kini membentuk sebahagian besar kelompok pengundi di negeri itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti tidak lagi boleh hanya bergantung kepada sokongan ahli semata-mata, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada usaha mendekati golongan pengundi berkenaan.
“Ya, betul. Sebab itu, hari ini kita fokus kepada pengundi (pengundi muda dan atas pagar), bukan hanya sekadar pada ahli parti sahaja, tidak. Mana-mana pun (pilihan raya) kita memang memerlukan sokongan pengundi atas pagar.
“Fokus hari ini perlu ingat, lebih 55 peratus pengundi adalah anak muda,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di di sini hari ini.
Semalam, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyatakan medan pertempuran sebenar dalam PRN Sabah kini bertumpu kepada pengundi muda dan atas pagar yang dilihat tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Katanya, kedua-dua kumpulan ini amat peka terhadap perkembangan semasa dan prestasi parti-parti politik, menjadikan mereka penentu utama kepada kemenangan mana-mana calon atau parti dalam PRN kali ini.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan usul yang diluluskan oleh UMNO Tangga Batu agar parti itu diberikan semula mandat untuk bertanding di Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, sebarang keputusan hanya akan diputuskan oleh peringkat kepemimpinan tertinggi parti-parti.
“Masih terlalu awal, pilihan raya (PRU) belum lagi, fikirkan soal rakyat dahulu,” jawabnya ringkas.
Beberapa hari lalu, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Rais Yasin berkata, UMNO berpeluang cerah untuk merampas kerusi berkenaan yang kini disandang wakil rakyat Perikatan Nasional, mengambil kira sejarah dan komposisi pengundi.
Jelasnya, permintaan itu relevan berdasarkan demografi pengundi Parlimen Tangga Batu yang terdiri daripada 85,000 pengundi Melayu daripada keseluruhan 120,000 pemilih berdaftar. – UTUSAN