PETALING JAYA: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang digantung keahliannya pada 2023 mengakui belum tiba masanya untuk beliau kembali ke parti itu.
Shahril yang juga pernah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, beliau menghargai peluang yang diberikan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, namun buat masa ini beliau lebih selesa berada di luar arena politik.
“Secara peribadi, saya sudah beberapa kali menyatakan penghargaan dan penghormatan terhadap isyarat yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid.
“Tetapi buat masa ini, saya agak selesa di luar politik. Satu hari nanti, wallahuaklam… but not now,” katanya menerusi program audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan hari ini.
Pandangan Shahril berbeza dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang secara terbuka mengumumkan hasrat untuk kembali menyertai parti menerusi Rumah Bangsa.
Kelmarin, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali tanpa sebarang syarat.
Inisiatif di bawah Rumah Bangsa itu juga terbuka kepada mana-mana individu yang ingin bersama perjuangan parti.
Shahril digantung keahlian selama enam tahun sejak Januari 2023 bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN










