SUNGAI PETANI: Seorang wanita dipercayai isteri kepada suspek penjenayah yang ditembak mati ditahan polis di sebuah rumah berhampiran lelaki itu ditumpaskan di persimpangan jalan di Sidam Kiri, di sini.
Penahanan wanita tempatan berusia 20-an itu dilakukan sepasukan polis yang menyerbu kediaman disewa pasangan terbabit, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya turut merampas sepucuk pistol, beberapa butir peluru beserta sejumlah dadah di rumah itu.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak polis,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu akhbar ini melaporkan seorang lelaki disyaki penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis pada pukul 7.50 malam tadi.
Suspek berusia 34 tahun dan memiliki lebih 30 rekod jenayah lampau itu dipercayai daripada kumpulan sama dengan dua lelaki yang turut mati ditembak dalam kejadian di Jitra, pagi semalam. – UTUSAN