PETALING JAYA: Polis menyelamatkan dua wanita warga India yang menjadi mangsa pukul majikannya selepas diperdaya untuk bekerja sebagai tukang jahit di sebuah rumah di Wangsa Maju.
Kedua-dua mereka diselamatkan menerusi Op Pintas yang dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hasil maklumat dan risikan pukul 9 malam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, menerusi operasi sama, seorang lelaki warga India berusia 30 tahun telah ditahan.
Menurutnya, suspek dipercayai berperanan sebagai majikan dan ejen akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Atipsom 2007.
“Dua mangsa pemerdagangan orang iaitu wanita warga India berusia 20 dan 22 tahun diselamatkan di rumah terbabit kerana diperdaya serta dieksploitasi kerja paksa,” katanya di sini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dijanjikan kerja sebagai tukang jahit dengan tawaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan, namun gaji tidak diterima.
Tambahnya, disebabkan tidak menerima gaji, dua-dua mangsa enggan bekerja sehingga suspek bertindak mencederakan mangsa.
“Mangsa berada bersama suspek sejak Disember tahun lalu. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami cedera di lutut dan dahi kerana dipercayai dipukul menggunakan kipas angin,” ujarnya – UTUSAN










