Polis kesan tiga individu pukul seorang lelaki

Polis kesan tiga individu pukul seorang lelaki

TANGKAP layar satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dipukul oleh beberapa orang suspek sebelum dipaksa untuk masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Nibong Tebal, Pulau Pinang.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Polis kini sedang giat mengesan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pukul membabitkan seorang lelaki lain di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, terdahulu, rakaman video berdurasi lebih dua minit mengenai kejadian itu telah dimuat naik menerusi aplikasi TikTok dan tular di media sosial sejak malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.16 malam semalam dan ia dipercayai berpunca daripada dakwaan terdapat kes kecurian barang kemas yang melibatkan mangsa.

“Dalam rakaman tersebut juga, kelihatan tiga suspek lelaki memukul mangsa di bahagian kepala dan badan tanpa sebarang senjata sebelum memaksa mangsa untuk masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Jay memberitahu susulan kejadian itu, mangsa telah menerima rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. Usaha mengesan kesemua suspek kini sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS.

“Pada masa yang sama, mangsa turut disiasat susulan dakwaan kes curi terhadapnya dan dia kini direman selama empat hari iaitu sehingga 20 Julai ini bagi membantu siasatan,” kata beliau.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sarina Mohd Adam di talian 017-2912781 bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN