PADANG TERAP: Bekas juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi mampu memperoleh sehingga RM6,000 sebulan dipercayai hasil kegiatan mencuri komponen pencawang telekomunikasi sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 37 tahun itu berakhir apabila ditahan pada 1 Oktober lalu selepas beberapa jam melakukan jenayah itu di pencawang pemancar telekomunikasi di Kampung Tanjung, di sini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abdull Razak Osman berkata, suspek yang sudah berkahwin dan memiliki dua anak menggunakan kemahiran dalam bidang itu untuk meleraikan komponen telekomunikasi dicurinya.
Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine itu dipercayai menggunakan hasil curi diperolehnya untuk membeli dadah bagi memenuhi ketagihan bahan terlarang itu.
“Kami percaya penahanan suspek berjaya menyelesaikan 21 kes kecurian komponen pencawang telekomunikasi di daerah ini, Kota Setar, Yan, Pendang dan Kuala Muda dengan kerugian melebihi RM600,000, selain menyebabkan gangguan telekomunikasi kepada pengguna,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kata Abdull Razak, suspek yang memiliki dua rekod jenayah kerana mencuri dan empat rekod berkaitan dadah diberkas polis dalam serbuan di rumahnya di Pendang, dekat sini.
“Dalam kejadian terkini, polis menerima dua laporan berkaitan kejadian kecurian komponen itu di lokasi berasingan di Kampung Tanjung pada 30 September lalu. Beberapa peralatan dan komponen komunikasi dilaporkan hilang dalam kejadian itu yang melibatkan kerugian dianggarkan RM112,000,” katanya.
Susulan penangkapan suspek pertama, Abdull Razak berkata, pihaknya turut menahan dua lagi suspek warga tempatan berusia 31 dan 51 tahun yang disyaki pembeli barang curi dibekalkan pelaku utama.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa komponen alat komunikasi dan pencawang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua laporan polis berkenaan.
Ketiga-tiga suspek kini masih dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










