ALOR SETAR: Polis menafikan dakwaan kejadian seorang lelaki dipukul orang ramai selepas didakwa melakukan rompakan yang kononnya berlaku di sebuah masjid di Kuala Kedah, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, semakan lanjut mendapati tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian seperti yang ditularkan setakat ini.
“Hasil semakan dan penelitian lanjut mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut di mana-mana lokasi dalam daerah Kota Setar termasuk di kawasan masjid di Kuala Kedah,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan kebimbangan masyarakat.
“Polis juga meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian sebenar dalam video terbabit tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar atau menghubungi talian 04-7747222.
“Kami komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara serta akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan orang ramai,” ujarnya.
Terdahulu, satu klip video bertajuk “Kes Rompakan di Masjid Kuala Kedah” tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Facebook.
Video berdurasi kira-kira 20 saat itu memaparkan seorang lelaki dipukul beberapa individu yang dikaitkan dengan kejadian rompakan di sebuah masjid. – UTUSAN










