PETALING JAYA: Identiti enam rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja kerana disyaki cuba menyeludup hampir 62 kilogram ganja ke United Kingdom dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 16 Julai lalu telah dikenal pasti polis.
Kesemua yang ditahan merupakan lelaki berusia antara 27 hingga 70 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat awal mengenai penahanan itu diperoleh melalui Kementerian Luar namun pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada pihak berkuasa Kemboja berhubung kes terbabit.
“PDRM akan bekerjasama dengan KLN menerusi Malawakil Kemboja bagi mendapatkan maklumat dan hasil siasatan pihak berkuasa Kemboja, seterusnya siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti sindiket-sindiket yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hussein berkata, siasatan awal masih belum dapat mengesahkan sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi dari Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan gaji lumayan terutamanya jika melibatkan penghantaran barangan ke luar negara tanpa mengetahui kandungannya.
“Orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan modus operandi sindiket dadah antarabangsa yang menyasarkan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah,” jelasnya.
Media tempatan Kemboja melaporkan enam lelaki terbabit ditahan Jabatan Anti-Dadah Kemboja dengan kerjasama pihak kastam dan pihak berkuasa lapangan terbang serta menemukan bahan terlarang itu dalam empat bagasi setelah dipercayai merancang berlepas ke London menerusi Hong Kong.
Kesemua mereka akan didakwa di bawah Artikel 40 Akta Kawalan Dadah Kemboja. – UTUSAN










