PETALING JAYA: Pembangkang mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mengurus negara khususnya dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, janji kerajaan berkaitan tadbir urus yang baik dan keprihatinan terhadap nasib rakyat hanya tinggal retorik apabila pelbagai bentuk cukai baharu diperkenalkan manakala subsidi pula dipotong.
“Anwar bukan sahaja telah gagal mengurus negara dengan baik, malah memungkiri janji-janjinya kepada rakyat. Isu kos sara hidup rakyat gagal ditangani. Pelbagai cukai baharu diperkenalkan dan subsidi pula dikurangkan.
“Lebih menyedihkan, janji mengenai kebebasan bersuara dan pentadbiran telus turut dilanggar apabila rakyat yang mengkritik kerajaan terus ditekan melalui siasatan dan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan apabila mengumumkan bantuan tunai RM100 serta penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen menjelang perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung esok.
“Ini bukan penyelesaian sebenar. Rakyat mahukan penilaian semula terhadap pelaksanaan cukai-cukai yang membebankan dan dasar pemotongan subsidi yang menyusahkan mereka.
“Banyak wang dikutip daripada rakyat, tetapi yang dipulangkan sangat sedikit. Ini hanya menambah kekecewaan orang ramai,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, suara rakyat tidak boleh disekat malah penyertaan dalam perhimpunan aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Selagi rakyat dibebani dengan dasar-dasar yang menekan, mereka berhak bersuara dan menyatakan pendirian secara aman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memastikan keamanan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan esok di ibu negara.
“Saya juga mengingatkan peserta agar menjaga adab, tatasusila dan mematuhi undang-undang sepanjang perhimpunan berlangsung.
“Jangan cetuskan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Kita berhimpun secara aman, dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Muhyiddin berkata, hak untuk berhimpun secara aman tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak dan perlu dipelihara sebaik-baiknya.
“Tiada sesiapa pun yang boleh menghalang hak ini. Jagalah dan peliharalah hak ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.-UTUSAN










