PM mahu projek tanaman padi lima musim disegerakan - Utusan Malaysia

PM mahu projek tanaman padi lima musim disegerakan

ANWAR Ibrahim meninjau kemajuan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong pelaksanaan Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam di Jerlun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Perdana Menteri meminta kerajaan negeri dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertindak segera bagi menjayakan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu amat dekat di hatinya, justeru pelaksanaan yang pantas dan penyelarasan yang berkesan amat penting bagi meningkatkan keupayaan pesawah serta memastikan hasil tuaian yang lebih mampan.

“Saya yakin bahawa ikhtiar berani Kerajaan Madani ini akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh kadar sara diri beras negara.

“Kerajaan Madani sentiasa mendengar suara pesawah, memahami keperluan mereka dan berazam untuk terus memperkasa sektor ini melalui pelbagai sokongan serta inisiatif berterusan,” katanya.

Beliau sebelum itu meninjau kemajuan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong pelaksanaan Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam di sini hari ini.

Tegas Perdana Menteri, keprihatinan terhadap nasib petani sebagai tulang belakang sektor agromakanan negara akan terus menjadi keutamaan dalam setiap dasar yang digubal, sejajar dengan iltizam kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

Lawatan Perdana Menteri itu merupakan kunjungan kali kedua beliau ke tapak projek berkenaan bagi meninjau kemajuan semasa pembangunan infrastruktur pertanian sebagai persediaan ke arah pelaksanaan pertanian pintar.

Projek berkenaan memberi tumpuan kepada penaiktarafan sistem pengairan dan saliran, selain memperkasakan penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi.

Pelaksanaan projek menggunakan pendekatan Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership) yang bukan sahaja menyokong intensifikasi aktiviti penanaman, malah dijangka mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah.

Projek pembangunan itu merangkumi dua komponen utama iaitu pembinaan dan penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (Projek 1), serta Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu Fasa 1 (Projek 2), melibatkan peruntukan keseluruhan sekitar RM1 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN