KUCHING: Sarawak mencatatkan jumlah pegangan padi kedua tertinggi selepas Kedah, dengan 14,394 pegangan iaitu 11.4 peratus daripada keseluruhan pegangan padi negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Dato Sri Arthur Joseph Kurup berkata ia berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 (Tahun Rujukan 2023), dengan sektor itu juga merekodkan jualan sebanyak RM23.4 bilion mewakili 14.6 peratus jumlah jualan seluruh negara.
“Realiti ini menunjukkan bahawa Sarawak bukan sahaja mempunyai potensi besar malah menunjukkan kemajuan ketara hasil pelaksanaan dasar-dasar negeri dan pusat secara bersepadu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Padi Kebangsaan di sini, malam tadi yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Arthur juga kagum dengan hala tuju Abang Johari dalam memacu agenda menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi terbesar negara menjelang 2020.
“Melalui pelaksanaan pelan transformasi pertanian berskala besar di kawasan strategik seperti Gedong, Lingga, Stumbin, Simunjan dan Lundu telah membuktikan teknologi moden dengan hasil mencecah lapan metrik tan sehektar.
“Usaha ini bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan negeri malah berpotensi menyumbang kepada pengeluar utama bekalan beras negara,” katanya.
Justeru, katanya bagi menyokong usaha tersebut, Kerajaan Persekutuan melalui kementeriannya telah menyalurkan beberapa peruntukan penting kepada industri padi di Sarawak.
Menjelas lanjut, beliau berkata ia termasuk dengan memberi mandat kepada IADA Batang Lupar sebagai agensi pelaksana utama di Sarawak untuk mengurus pembangunan projek pembangunan jelapang padi baharu seperti Tanjung Bijat, Stumbin, Gran, Entulang dan Seduku yang telah siap dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dengan kos keseluruhan berjumlah RM230 juta.
Selain itu, Arthur berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai agensi di bawah kementeriannya giat melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang berfokus di Sarawak termasuk penerokaan dan penggunaan varieti baharu yang lebih sesuai dengan keadaan agroekologi setempat.
Menjelas lanjut, beliau berkata antaranya penggunaan varieti MR CL3 dan MR CL4 yang baru diisytiharkan pada 14 Julai lepas bagi mengatasi masalah padi angin yang efisien hasil kolaborasi MARDI dan Syarikat BASF.
Selain itu, katanya penggunaan varieti Kesidang yang sesuai untuk penanaman di kawasan luar jelapang dan kawasan berpaya rendah termasuk projek pembiak bakaan benih baka varieti MR 331 dan MR338 juga sedang dijalankan di kawasan Skuduk Chupak sebagai tapak projek rintis MARDI kelak.
Sementara itu, Abang Johari optimis Sarawak berupaya menjadi pengeluar padi terbesar di Malaysia menjelang tahun 2030 sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import beras dari luar.
Menurutnya pada masa ini, Sarawak menerusi BERNAS dan Kerajaan Persekutuan mengimport beras dari Vietnam, yang memperoleh bekalan padi mentah dari Kemboja sebelum diproses dan dieksport.
Justeru, katanya jika jika pengeluaran benih padi dapat ditingkatkan di dalam negeri, Sarawak mampu meningkatkan pengeluaran padi secara besar-besaran.
“Kalau tidak ada benih, tidak ada padi. Kita sering mengalami kekurangan benih. Jika Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat membantu memperbanyakkan pengeluaran benih, kita mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan di sini, malam tadi.
Menurut Abang Johari, pada masa ini Sarawak telah memperuntukkan tanah seluas 14,000 hektar untuk penanaman padi, dan keluasan itu boleh digandakan kepada 28,000 hektar sekiranya benih mencukupi sekali gus boleh menghasilkan kira-kira 500,000 tan padi setahun. – UTUSAN










