PM beri jaminan lantikan Ketua Hakim Negara masa terdekat - Anthony Loke

PM beri jaminan lantikan Ketua Hakim Negara masa terdekat – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar Minggu Maritim Malaysia 2025 di Sunway Resort Hotel hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara baharu dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja esok.

Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran bahawa pengisian jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas memperoleh perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri telah memberikan penjelasan menyeluruh berhubung perkara tersebut dalam satu sesi taklimat tertutup bersama ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan, semalam.

Menurut beliau, meskipun perkara tersebut telah disentuh beberapa kali dalam mesyuarat Jemaah Menteri, taklimat khas itu bertujuan memastikan semua wakil rakyat kerajaan memahami situasi sebenar berkaitan pengisian jawatan berkenaan.

“Perdana Menteri menyatakan dengan jelas bahawa keputusan akan dibuat tidak lama lagi. Ketika ini, kekosongan dalam lapisan tertinggi badan kehakiman terutamanya jawatan Ketua Hakim Negara merupakan kebimbangan utama.

“Beliau akan membentangkan cadangan pelantikan kepada Majlis Raja-Raja dan kita berharap sebaik sahaja mendapat perkenan, keputusan rasmi dapat diumumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025 di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa yang berlegar ketika ini.

Jumaat lalu, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Kompleks Seri Perdana.

Difahamkan, kedua-dua pertemuan itu bertujuan memperkukuh persefahaman dan menjelaskan beberapa isu membabitkan dasar kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN