Latheefa Koya kritik AGC, isu lantikan hakim

Latheefa Koya kritik AGC, isu lantikan hakim

LATHEEFA KOYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) didakwa seolah-olah cuba menutup salah laku membabitkan seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan.

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya berkata, tindakan AGC yang melabelkan isu berkenaan sebagai ‘ketidakaturan prosedur’ adalah tidak wajar dan amat mengecewakan memandangkan dakwaan itu menyentuh prinsip asas integriti kehakiman.

“Dakwaan hakim terbabit meminta Ketua Hakim Negara untuk membuat keputusan yang memihak kepada pihak tertentu bukanlah perkara kecil atau isu prosedur semata-mata.

“Ia melibatkan prinsip ketidakberpihakan kehakiman dan boleh dianggap sebagai satu bentuk campur tangan luar yang membawa unsur rasuah. Sebarang dakwaan seperti ini wajib disiasat secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan yang berlegar berhubung pelantikan hakim.

Susulan itu, AGC menerusi kenyataan akhbar pagi tadi memaklumkan, proses pelantikan jawatan hakim tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

AGC berkata, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat daripada sudut peruntukan undang-undang tertinggi negara.

Latheefa turut mempersoalkan asas AGC menolak dakwaan tersebut dengan alasan ia tidak disokong oleh bukti kukuh.

“Apakah siasatan serius telah dijalankan? Adakah siasatan bebas telah dilakukan untuk mengesahkan dakwaan ini? Atau kenyataan tersebut dibuat tanpa sebarang siasatan rapi?,” katanya.

Katanya, sebarang bentuk campur tangan dalam sistem kehakiman perlu dipandang serius dan ditangani dengan penuh tanggungjawab bagi menjamin kebebasan institusi kehakiman di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN