PETALING JAYA: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) kecewa terhadap kegagalan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menunaikan janji menyalurkan insentif pembajakan dan penuaian seperti diumumkan sebelum ini.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, sehingga kini para pesawah masih belum menerima sebarang bayaran walaupun kerajaan telah membuat dua pengumuman rasmi berhubung perkara itu.
Katanya, janji pertama dibuat pada 11 Jun 2024 apabila kerajaan mengumumkan kadar baharu insentif pembajakan sebanyak RM160 sehektar berbanding kadar asal RM100, serta pengenalan insentif baharu untuk penuaian sebanyak RM50 sehektar bagi setiap musim.
“Langkah ini kononnya bertujuan membantu pesawah menampung kos operasi selepas pemansuhan subsidi diesel pada Jun 2024. Namun sehingga kini, bayaran tidak diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sekali lagi membuat janji pada 28 Jun 2025 bahawa bayaran insentif tersebut akan diselesaikan sebelum 31 Julai 2025.
Katanya, pengumuman itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 16 Jun 2025.
“Namun, sehingga tarikh akhir yang dijanjikan ini, janji itu masih tidak ditunaikan. Ini merupakan musim ketiga pesawah bekerja tanpa menerima insentif yang dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata, pesawah kini menanggung peningkatan kos operasi sehingga 55 peratus tanpa bantuan bersasar yang dijanjikan kerajaan.
Katanya, pengumuman yang dibuat sebelum ini seolah-olah memberi gambaran bahawa isu telah diselesaikan, sedangkan realitinya pesawah terus menanggung beban kewangan.
“Kami bukan peminta sedekah. Kami menuntut hak kami. Kegagalan kerajaan menunaikan janji ini bukan sahaja mengecewakan, malah menjejaskan kepercayaan pesawah terhadap pentadbiran sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, kelewatan berterusan itu juga boleh memberi kesan kepada keterjaminan bekalan beras negara dalam jangka masa panjang.
“PeSAWAH menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan segera bagi memastikan pembayaran penuh bagi tiga musim tertunggak diselesaikan tanpa sebarang alasan lagi,” katanya.
Habis //










