KUALA NERUS: Waris kepada atlet angkat berat wanita Terengganu, Siti Noralyaa Mat Marzuki yang meninggal dunia pada 13 Julai lalu akibat kanser, mendapat khabar gembira apabila menerima faedah pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Perkeso Terengganu, Suhara Mustaffa berkata, pertubuhan itu menyalurkan faedah pencen penakat buat keluarga Allahyaham bagi memastikan kebajikan waris pencarum terus terbela.
Katanya, menerusi skim perlindungan sosial tersebut, ibu bapa dana empat adik Allahyarham layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 dan Faedah Pencen Penakat bulanan sebanyak RM897 yang disalurkan mulai bulan depan.
“Perkeso prihatin terhadap nasib waris pencarum termasuk atlet negeri. Bayaran pencen ini disalurkan setiap bulan dan jika ibu bapa masih hidup, mereka terus menerima manfaat ini mengikut syarat ditetapkan.
“Ini adalah bukti perlindungan sosial yang menyeluruh di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) termasuk kepada atlet yang mencarum secara sukarela atau melalui majikan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Taman Batin Perdana, di sini, semalam.
Faedah itu disampaikan Suhara kepada keluarga Allahyarham dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim serta Pengarah Majlis Sukan Negeri, Ahmad Shahrizal Yahaya.
Suhara berkata, sehingga kini ramai atlet menerima faedah kematian, sakit kritikal dan kecederaan ketika latihan atau perlawanan menerusi skim sedia ada.
“Dalam tempoh dua tahun ini sahaja, 25 atlet menerima rawatan pemulihan termasuk dua pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) yang kini sedang menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso,” katanya.
Sementara itu, ibu arwah Siti Noralyaa, Rusmailaili Samsuri, 43, berkata, sumbangan tersebut sedikit-sebanyak dapat meringankan beban dan kesedihan mereka sekeluarga.
“Selepas tidak lagi bergelar atlet, arwah bekerja di stesen minyak untuk membantu keluarga kerana suami hanya bekerja sebagai pemandu lori roti,” katanya. – UTUSAN











