Perjuangan saya belum selesai – Dr. Mahathir

Perjuangan saya belum selesai – Dr. Mahathir

MAHATHIR Mohamad dalam Podcast Dr. M yang disiarkan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Selagi saya hidup, saya akan terus berjuang.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitulah kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika berkongsi semangat dan misi perjuangannya dalam Podcast Dr. M yang disiarkan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, walaupun beliau telah mengumumkan persaraannya pada tahun 2003 dan kembali menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, hasratnya untuk terus menyumbang kepada negara tidak pernah padam.

Beliau berkata, masih banyak masalah dalam negara yang perlu diperbetulkan yang menyebabkan beliau tidak mampu untuk bersara sepenuhnya daripada arena politik tanah air.

“Saya tak mudah kecewa. Saya kerja kuat sebab saya nak jadi contoh. Tapi saya sedih lepas bersara pada 2003, banyak dasar pembangunan digugurkan dan negara tidak berkembang.

“Saya sebenarnya nak berehat, tapi ramai orang datang minta tolong. Saya tak tahu macam mana orang boleh duduk diam lepas bersara. Saya rasa, selagi hidup, saya mesti buat sesuatu,” katanya.

Hari ini, Dr. Mahathir menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100.

Beliau dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah dan menjadi Perdana Menteri selama dua kali iaitu dari 1981 hingga 2003 serta 2018 hingga 2020.

Dr. Mahathir berkata, latar belakangnya sebagai doktor perubatan banyak mempengaruhi pendekatannya dalam mentadbir negara, terutamanya dalam mengenal pasti krisis dan mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah.

“Saya masih ingat semasa menjadi doktor, setiap masa saya perlu membuat keputusan yang betul. Menentukan penyakit dan mengubatinya adalah satu bentuk krisis juga.

“Apabila berdepan dengan pesakit, saya perlu tahu apa penyakitnya, apa ubatnya dan bagaimana untuk memulihkannya. Bagi saya, itu perkara biasa.

“Latihan sebagai doktor banyak membantu saya menganalisis masalah negara. Saya belajar mengenal pasti punca sesuatu ‘penyakit’, memahami sebabnya, menilai rawatan dan cari penyelesaian. Masalah dalam pentadbiran negara bagi saya tidak jauh beza dengan pesakit yang datang untuk dirawat,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, dalam situasi genting, tiada keputusan yang benar-benar bebas daripada risiko. 

Menurutnya, antara langkah drastik yang diambil ketika beliau menerajui negara adalah pada tahun 1997 ketika Malaysia berdepan dengan Krisis Kewangan Asia.

Ketika itu, beliau dilihat sebagai watak utama dalam mengemudi negara keluar daripada krisis ekonomi tersebut dan memilih untuk tidak meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sebaliknya melaksanakan kawalan modal dan menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (USD).

“Kita buat keputusan yang dikira (calculated risk). Negara lain tak mampu buat sebab mereka tak ada simpanan. Tapi Malaysia ada rizab yang kukuh, kita ada tabung. Sebab itu kita berani,” katanya.

Menyentuh soal etika kerja, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa budaya kerja keras telah sebati dalam dirinya sejak muda. 

Menurutnya, sebagai seorang doktor, beliau tidak pernah memilih masa untuk berkhidmat, malah menganggap tugas itu sebagai satu amanah yang mesti disempurnakan dengan penuh tanggungjawab.

“Saya anggap itu kerja saya. Bila jadi menteri, saya teruskan disiplin yang sama. Siang dan malam saya kerja.

“Saya tidak kira waktu. Kalau ada kerja, saya akan buat. Saya tak suka buang masa. Bagi saya, membangunkan negara adalah satu bentuk ibadah. Saya rasa seronok bila dapat menyumbang sesuatu dan melihat hasilnya,” katanya.

Beliau menegaskan, perjuangannya bukan untuk mengejar kuasa atau kedudukan, sebaliknya demi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang dihormati di peringkat antarabangsa.

“Saya tengok Gaza, saya sedih. Kalau Malaysia jadi negara maju, kita boleh bantu lebih ramai. Kita boleh jadi lebih berpengaruh.

“Perjuangan saya belum selesai. Ini bukan soal nama atau kuasa. Tapi soal amanah terhadap rakyat dan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini