Perbezaan pandangan asas negara matang - PM

Perbezaan pandangan asas negara matang – PM

anwar
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri berkata, beliau kekal dan konsisten berpegang kepada prinsip demokrasi yang menjamin kebebasan bersuara serta menyatakan kritikan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk permusuhan sebaliknya menjadi asas kepada sebuah negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.

“Kritikan harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara yang mencintai tanah air.

“Yang penting ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut memaklumkan bahawa prinsip yang sama diterapkan beliau menerusi Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen yang membenarkan Ahli Parlimen bertanya secara terus apa jua persoalan kepada beliau.

“Saya mohon rakyat terus desak wakil rakyat untuk aktif hadir dan mengambil bahagian dalam sesi Parlimen, terutama sesi PMQT.

“Saya undang semua untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu, melakar serta membina negara ini bersama, tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan-lapangan baharu agar negara ini dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga,” katanya.

Anwar dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pasukan keselamatan termasuk polis, bomba, petugas perubatan dan sukarelawan yang bertugas bagi memastikan kelancaran himpunan yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menyatakan pandangan, solidariti dan semangat cintakan tanah air. Semoga kalian selamat pulang ke destinasi masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN