JOHOR BAHRU: Lebih 15 kes penyeludupan bahan radioaktif direkodkan dalam masa setahun melalui pintu masuk sempadan negara sama ada melalui jalan laut dan darat ke Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Atom, Monalija Kostor berkata, kegiatan penyeludupan itu bagaimanapun dibongkar selepas dikesan menerusi Radiation Portal Monitor (RPM) yang dipasang di pintu sempadan negara.
Katanya, cubaan menyeludup masuk dan membawa keluar pelbagai bahan radioaktif antaranya Cobalt-60 dan Cesium-137 itu akan dilucut hak atau dihantar semula ke negara asal ini dibawa.
“Kebanyakan kes penyeludupan ini berlaku di Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan yang sangat aktif bagi import dan eksport dengan beberapa kontena dikesan mengandungi bahan radioaktif.
“Kami berjaya mengesan taktik yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan ini dengan mengiisytiharkan bahan radioaktif ini sebagai produk tenusu, barang mainan dan tekstil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Latihan Pengesanan Keselamatan Nuklear Pelbagai Hala (Multilateral Nuclear Security Detection Exercise) MITSATOM 2025 di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom, Noraishah Pungut.
Monalija berkata, bahan radioaktif itu lazimnya digunakan dalam industri seperti minyak dan gas, plastik, elektronik dan perubatan dalam usaha meningkatkan operasi serta kejituan pengeluaran yang dihasilkan.
Katanya, kegiatan penyeludupan bahan radioaktif itu dilakukan bagi mengurangkan kos import dan pengurusan bahan tersebut secara sah melibatkan lebih RM1 juta bergantung jenis bahan radioaktif yang dikendalikan atau cuba mengaut keuntungan.
“Kebiasaannya, mereka membawa masuk secara haram adalah untuk mengelakkan kos yang perlu ditanggung syarikat atau pun mungkin kerana mereka tidak tahu ada undang-undang yang mengawal bahaya radioaktif dalam negara.
“Tapi, kami tidak akan benarkan itu berlaku kerana ia boleh menjejaskan keselamatan rakyat daripada terdedah sinaran yang sentiasa keluar daripada bahaya radioaktif tersebut,” katanya.
Tambahnya, kes penyeludupan bahan radioaktif tersebut dianggap serius dan perlu dikekang kerana ia boleh mendatangkan keburukan kepada rakyat dan negara sekiranya ia jatuh kepada tangan orang yang tidak sepatutnya.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi merentasi sempadan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memastikan tiada kes penyeludupan tersebut berlaku.
“Sekiranya ia diseludup keluar dari negara, ia akan rampas dan mahkamah akan
putuskan sama ada putus lucut hak dari pemiliknya dan diambil kerajaan untuk diuruskan sebaiknya, atau ia akan dipulangkan kepada pemilik setelah dikenakan denda,” katanya. – UTUSAN