KUALA LUMPUR: Keputusan mahkamah berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan satu detik untuk diraikan atau patut dibanggakan.
Sebaliknya, ia mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara selaras dengan mandat dan kepercayaan yang telah diberikan kepada suruhanjaya tersebut.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun siasatan tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat.
Katanya, ini bagi membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak awal siasatan 1MDB dimulakan pada Julai 2015 sehingga sampai pada penyelesaiannya dengan pengumuman keputusan penghakiman kes ini.
“Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azam kemudian merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan ini, khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Begitu juga, kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar untuk mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance),” katanya.
Menurutnya, antara agensi yang telah memberikan bantuan amat bernilai dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti ialah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.
“Profesionalisme serta komitmen berterusan mereka dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai,” katanya.
Terdahulu, Najib didapati bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB di sini, hari ini.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Tuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri di mana hari pertama prosiding bela diri ialah pada 2 Disember 2024 dan hari terakhir 6 Mei 2025, mengambil masa selama 58 hari dengan 26 saksi.
Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh dunia itu memakan masa keseluruhan selama 293 hari dengan Mahkamah Tinggi mendengar keterangan seramai 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.- UTUSAN










