UMNO Seremban serah memorandum bantahan kenyataan pemimpin DAP

UMNO Seremban serah memorandum bantahan kenyataan pemimpin DAP

MAZALAN Maarop menyerahkan memo bantahan kepada Ho Weng Wah di Pejabat Ahli Parlimen Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO Bahagian Seremban hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap kenyataan beberapa pemimpin DAP yang disifatkan mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara parti kerajaan perpaduan.

Memorandum berkenaan diserahkan ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Seremban dengan dihadiri lebih 40 orang wakil cawangan, jawatankuasa bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO daerah tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazlan Maarop berkata, pendirian yang diambil pihaknya bukan bertujuan untuk mencetuskan konflik sebaliknya rasa tanggungjawab serta keputusan mesyuarat bahagian itu untuknmempertahankan sensitiviti ahli UMNO.

“Kami kekal menghormati keputusan kepemimpinan Pusat dalam menentukan hala tuju hubungan antara UMNO, dan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP namun kami menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan perlu dizahirkan secara berhemah dan beradab.

“Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua parti komponen, tetapi situasi ini mesti diharmonikan. Apa jua keputusan hubungan UMNO dan PH adalah diputuskan oleh kepimpinan pusat dan kami akan mematuhinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Ahli Parlimen Seremban, Ho Weng Wah di sini hari ini.

Mazlan berkata, bantahan itu dibuat susulan dua kenyataan terbuka oleh pemimpin DAP termasuk oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan Titah Adendum.

“Isu melibatkan tokoh negara dan keputusan mahkamah bukan medan untuk ejekan atau perayaan bersifat provokatif. Ia telah menyinggung perasaan ahli UMNO serta mewujudkan ketegangan yang tidak perlu,” katanya.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Seremban menuntut agar kenyataan-kenyataan berkenaan dipadam serta-merta oleh pihak terlibat, aminan bahawa perkara sama tidak berulang, selain permohonan maaf secara terbuka. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×