TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Rabu berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan, Syria, Gaza dan Yaman, meskipun terdapat usaha serantau dan antarabangsa untuk meredakan ketegangan serta memulihkan kestabilan serantau, lapor Anadolu.
“Di Lubnan, kami akan terus menggunakan kekuatan maksimum terhadap Hezbollah di Syria, Israel tidak akan berundur dari Gunung Hermon (Jabal al-Sheikh) dan zon keselamatan dan di Semenanjung Gaza, Israel kekal komited untuk membongkar Hamas serta melucutkan senjata wilayah itu.
“Mengenai Yemen, Israel akan meneruskan operasinya bagi menghalang Houthi daripada memperkukuh keupayaan mereka,” katanya.
Menyentuh konflik dengan Teheran, Katz mendakwa Israel telah menyebabkan kerosakan besar terhadap keupayaan nuklear dan strategik Iran.
“Saya mengikuti laporan berkaitan Iran yang kami serang melalui kerjasama dengan rakan sekutu Amerika Syarikat (AS), dan pihak keselamatan memantau rapat perkembangan tersebut. Saya tidak dapat memberikan butiran lanjut,” katanya.
Tentera Israel telah melancarkan serangan besar-besaran di Gaza, mengorbankan lebih 71,000 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.
Serangan itu meningkatkan ketegangan serantau dan mencetuskan serangan dengan Hezbollah di Lubnan serta Houthi di Yaman. Tentera Israel juga melancarkan perang selama 12 hari terhadap Iran pada Jun lalu, yang dihentikan susulan gencatan senjata.
Tel Aviv turut melaksanakan serbuan rentas sempadan berulang kali ke wilayah Syria dan melancarkan serangan udara, mengorbankan orang awam serta memusnahkan tapak ketenteraan Syria, kenderaan, senjata dan peluru. -AGENSI










