GUA MUSANG: Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah trak pikap semasa berhenti untuk membelok ke simpang di Kilometer 71 Jalan Gua Musang-Lojing di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Bilal Muhammad, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 110Z meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Gua Musang ke Lojing di sini hendak membelok ke simpang sebelah kanan jalan.
Katanya, ketika itu, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dari arah sama merempuh motosikal yang berada di garisan tengah pembahagi jalan dan berhenti untuk membelok ke simpang.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN